Friday 8 June 2012

Yang saya pelajari - Sistem Pembelajaran Sekarang


Semasa menulis artikel ini saya sedang menjaga anak bungsu saya di hospital. Anak saya, Hana telah dimasukkan ke wad atas sebab demam virus yang semakin menular sejak kebelakangan ini. Sudah lama saya pendamkan untuk menulis, meluahkan pendapat saya mengenai sistem pembelajaran yang sedia ada. Mungkin semasa menjadi pelajar, saya tidak perasan atau hanya mengikut sistem yang sedia ada tanpa banyak soal. Sejak kecil lagi, telah dipupuk mengenai kepentingan pelajaran agar senang kemudian hari. Artikel ini bukanlah mengenai hal politik negara mahupun mengecam kerajaan. Sekadar pandangan dan pengalaman untuk berkongsi bersama.

Seminggu yang lalu, saya berkesempatan untuk menonton drama Melayu “Puisi Cinta Rubiah” yang ditayangkan di TV2. Drama itu sedikit sebanyak memaparkan tentang seorang pelajar tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan SPM tetapi mengabaikan pelajarannya kerana mabuk bercinta melalui “chatting” di internet. Bapa pelajar tersebut merupakan seorang ketua kampung yang kononnya amat sibuk menjalankan tugasnya dan menurunkan tanggungjawab sepenuhnya kepada si isteri untuk mengawasi pelajaran anaknya. Acapkali si isteri dipersalahkan dengan alasan si isteri seorang suri rumah dan sentiasa bersama si anak manakala si suami mempunyai tanggungjawab yang lebih berat iaitu mencari rezeki bagi sesuap nasi. Terdapat satu adegan dimana bapa pelajar tersebut dipanggil oleh guru sekolah anaknya untuk berbincang mengenai prestasi pelajarannya. Seperti yang sering kita lihat, guru tersebut dipersalahkan kerana dikatakan tidak menjalankan tugas sebagai seorang pendidik yang baik. Bapa tersebut juga menyalahkan sistem pembelajaran sekolah tersebut. Terlintas di fikiran saya “inilah budaya masyarakat kita”. Pertama; pelajaran anak-anak hanya terletak pada tanggungjawab si Ibu/isteri, para bapa hanya bertanggungjawab untuk mencari rezeki (alasan yang paling saya menyampah!!). Kedua; para pendidik khasnya guru sahaja menjadi tunjang utama mengawasi pelajaran anak-anak dan bukan ibubapa (alasan yang turut memualkan!) Ketiga; sistem pembelajaran kita yang hanya melihat kepada keputusan peperiksaan (exam oriented education system), pelajar yang gagal sudah dicop tiada masa hadapan yang cerah. Disebabkan 3 perkara tersebut telah membuatkan saya tidak terus menonton.Mengapa masih banyak lagi drama/filem Melayu yang masih menggambarkan pemikiran kolot seperti ini? Tidak hairanlah cara atau tahap pemikiran masyarakat kita masih di tekuk yang sama!



Pada malam yang sama, TV2 telah menayangkan filem Hindustan ‘3 Idiots’. Bagus juga berhenti melanggan Astro, banyak siaran biasa yang masih belum sempat saya tonton. Filem tahun 2009 tetapi saya terlepas pandang, mungkin terlalu sibuk menguruskan keluarga dan kerja. Filem ini mengisahkan 3 orang pelajar yang sahabat baik iaitu Ranchoo, Raju dan Farhan di Emperial Collge of Engineering, kolej kejuruteraan yang terkenal di India. Ranchoo merupakan seorang genius dan berminat untuk belajar kerana ilmu dan bukan untuk lulus dengan cemerlang semata-mata. Ini berbeza dengan Raju yang berasal daripada keluarga yang miskin. Tekanan untuk mencapai keputusan yang cemerlang bagi mengubah nasib keluarga menyebabkan dirinya tertekan. Farhan pula tidak berminat untuk belajar dalam bidang kejuruteraan namun dipaksa oleh keluarganya untuk menjadi seorang jurutera bagi menaikkan imej keluarga di mata masyarakat setempat. Minat Farhan yang sebenarnya adalah di dalam bidang fotografi. Kebanyakan pelajar di kolej ini juga belajar sekadar untuk menghafal tanpa cuba memahami menyebabkan mereka seolah-olah seperti mesin atau robot. Tenaga pengajar di kolej juga tidak mendidik pelajar untuk berinovasi. Akibat tekanan hidup, ramai pelajar yang mengambil keputusan untuk membunuh diri. Perkara ini sememangnya bukan sahaja berlaku di Negara India malah semakin menular di negara kita, dimana ibu bapa berlumba-lumba untuk menjadikan anak-anak mereka berkerjaya seperti jurutera, doktor, peguam, arkitek ataupun akauntan. Ramai graduan kita yang kurang ‘soft-skills’ & kurang keyakinan diri, kebanyakkannya seperti mesin lantas bekerja mengikut buku semata-mata dan tidak boleh berfikir secara kreatif.


Selepas 3 jam menonton filem tersebut membuatkan saya berfikir sejenak. Idea untuk saya menulis datang lagi!! Jika sebelum ini saya membantu dalam penulisan bagi polisi kerajaan dalam Memorandum atau Nota Jemaah Menteri, kenapa tidak menulis untuk meluahkan apa yang terbuku dihati. Masa yang lama untuk menjaga anak di hospital membuatkan saya perlu untuk berfikir.Saya tidak betah untuk hanya duduk dikerusi. Saya perlu berfikir, kalau tidak otak akan mati!

Sebagai seorang ibu kepada 4 orang anak dan salah seorangnya merupakan Autisme (menghadapi masalah pembelajaran) melihat sistem pembelajaran negara ini yang semakin mengejar keputusan cemerlang tetapi akhirnya menghasilkan graduan yang hanya bijak menghafal tetapi kurang bijak mempraktis apa yang dipelajari. Pendidikan Khas pula sering mendapat kelas kedua. Lihat sahaja PERMATA yang ditubuhkan khas untuk mengilap anak-anak yang sememangnya dilahirkan bijaksana. Jika dilihat kepada rasionalnya, bukankah pelajar yang bijak itu boleh saja dicampak dimana-mana dan akan sentiasa menjadi survival dan bertahan di mana sahaja? Kenapa tidak diberikan tumpuan yang lebih kepada para pelajar istimewa (OKU) atau tidak bernasib baik kerana berpenyakit yang sememangnya memerlukan perhatian yang lebih? Sekolah Pendidikan Khas juga kurang dan banyak diantaranya yang baik tetapi ibu bapa perlu membayar kos yang tinggi. Sistem pelajaran sekarang yang sangat berpandukan peperiksaan (exam-oriented education system) tidak mengira kekurangan atau kelebihan seseorang pelajar. Semua pelajar diuji dengan ujian yang sama- tidak berdasarkan tahap kemampuan seseorang pelajar tersebut. Sekiranya tidak mendapat keputusan yang cemerlang maka pelajar tersebut akan dicop pemalas atau bodoh.



Kaedah pembelajaran awal di tadika juga telah disematkan ke arah pencapaian akademik sahaja. Tidak seperti di negara yang maju, pembelajaran pada masa ini adalah berkonsepkan 'to explore' supaya anak-anak berminat ke sekolah. Berbanding dengan kita di Malaysia, beg sekolah seberat 5-10kg dan kerja rumah bertimbun. Sudah kurang penerapan semangat belajar untuk mendapat ilmu yang berkualiti; tetapi berlumba-lumba untuk mendapat nombor 1 dalam kelas. Kanak-kanak yang masih tidak mampu untuk membaca sebelum menjejakkan kaki ke darjah 1 akan dipandang jauh ketinggalan berbanding dengan kanak-kanak seusia yang bijak. Bukan itu sahaja, ada sesetengah sekolah yang membuat ujian khas sebelum anak-anak ditempatkan ke kelas darjah 1. Melalui ujian tersebut, bakal murid tahun 1 akan ditempatkan ke kelas mengikut tahap pencapaian/keputusan ujian tersebut.



Pada mulanya, saya juga seakan terikut dengan trend semasa, kadang kala kecewa dengan keputusan anak-anak yang baru sahaja beberapa tahun melihat dunia. Dengan pameran keputusan cemerlang anak-anak oleh ibubapa di laman sosial seperti Facebook lagi membuatkan saya mual. Baru keputusan tadika/sekolah sudah dibangga-banggakan apatah lagi keputusan SPM atau yang lain. Tidak salah untuk berbangga dengan kejayaan anak-anak tetapi adakah pernah terlintas di fikiran tentang perasaan ibubapa yang dikurniakan anak yang kurang bernasib baik? Apakah perasaan saya sebagai seorang ibu yang mempunyai anak istimewa?Mungkinkah sudah kurang perasaan rendah diri dikalanagan masyarakat kita? Jangan salah sangka yang saya akan cemburu dan dengki, semua itu adalah rezeki yang Allah kurniakan. Bukan kuasa saya untuk mempertikaikan. Tetapi sampai bilakah budaya ini akan berterusan? Budaya yang suka bertanya “Anak you dapat numbor berapa di sekolah?” atau “berapa A anak you dapat?” atau “anak you dapat sambung belajar di mana?”. Dan bermulalah episod ibubapa akan bertukar cerita tentang anak-anak sendiri; “anak I dapat nombor satu dalam kelas” atau “anak I dapat masuk dalam kelas terbaik” atau “anak I wakil sekolah dalam acara..” dan seterusnya.


Pernah saya mendapat berita tentang anak sahabat saya yang hanya berumur 11 tahun yang berjaya diselamatkan daripada terjun dari bangunan sekolah kerana tertekan dengan desakan ibubapa tentang pelajarannya. Sejak itu, saya kurang memaksa anak-anak saya untuk belajar, cukup lah ke kelas tuisyen untuk subjek yang lemah seperti Bahasa Mandarin dan Matematik. Saya menghantar anak pertama, Dania & anak kedua, Sarah ke sebuah sekolah rendah jenis cina kerana saya berharap mungkin mereka akan mempunyai kelebihan mengusai lebih daripada 2 bahasa nanti. Saya juga mengambil keputusan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah agama petang/pagi cukuplah ke kelas mengaji AlQuran/Fardhu Ain 1 jam sehari selepas diberitahu oleh guru kelas yang anak saya tidur di dalam kelas kerana kepenatan. Mungkin kerana pukul 730 pagi ke sekolah Agama dan 1130 pagi sudah ke sekolah rendah sehingga petang. Malam pula ke kelas tuisyen. Baru saya sedar, anak-anak yang dilahirkan, dianugerahkan dengan keupayaan pembelajaran yang berlainan walaupun daripada keturunan bijak pandai. Benarlah pesanan orang dahulu “Kebijaksanaan dan kewarasan akal tidak dapat diwarisi”. Namun demikian, bukan bermakna kebijaksanaan tidak boleh disemai. Pendidikan awal adalah amat penting. Bak kata pepatah “Melentur rebung biarlah dari rebungnya”. Semua harus bermula daripada ibubapa bukan diserahkan sepenuhnya kepada para pendidik.



Saya teringat semasa zaman persekolahan saya dahulu. Saya suka belajar dan sentiasa menjadikan kakak saya sebagai sumber inspirasi kerana berjaya mendapat biasiswa untuk menyambung pelajarannya ke United Kingdom berdasarkan keputusan SPM yang cemerlang. Saya telah berazam untuk mengikuti jejaknya nanti. Semasa itu, saya memang naïf. Bagi saya hanya keputusan yang cemerlang dapat menentukan masa hadapan. Saya telah ditawarkan untuk ke Sekolah Berasrama Penuh walaupun hati meronta untuk ke sekolah MRSM. Dengan berpegangkan pesanan kakak iaitu “Sekolah Berasrama Penuh merupakan passport untuk mendapat biasiswa”, saya memaksa diri untuk bertukar sekolah walaupun sekolah asal juga tidak kurang hebat reputasinya. Tetapi disebabkan sekolah asal cuma sekolah menengah biasa mungkin kurang mendapat perhatian. Reputasi sekolah adalah salah satu kriteria yang penting untuk dipilih oleh agensi yang menawarkan biasiswa seperti JPA, Petronas, TNB, Shell,Renong dan Esso. Pada mulanya saya memang berat hati untuk bertukar sekolah tetapi melihatkan keceriaan Abah semasa saya memaklumkan berita tawaran sekolah berasrama, terpaksa saya akur –cara yang termampu untuk membalas budi Abah dan Mama hanya dengan mengembirakan hati mereka sepanjang mereka hidup.



2 tahun bersekolah di sekolah berasrama penuh mengajar saya untuk berfikir dengan lebih matang, sabar dan tabah menghadapi apa cabaran yang ada. Semangat untuk bersaing secara sihat dengan rakan-rakan sentiasa tersemat di jiwa. Impian hanya satu iaitu biasiswa perlu dimiliki.

Semasa menunggu keputusan SPM, saya mengajar kelas tuisyen subjek Matematik secara percuma kepada anak-anak yang daripada golongan yang kurang berada. Antara murid yang masih saya ingat ialah seorang pelajar tahun 2 yang bapanya mengerjakan kedai runcit yang sering saya kunjungi. Bagi saya, ilmu yang saya peroleh perlu dikongsi- bukan wang sebagai ganti. Sekurang-kurangnya saya tidak lupa dengan apa yang telah saya pelajari semasa dibangku sekolah.

Berkat kesabaran dan usaha saya berjaya mendapat keputusan yang baik. Tetapi tidaklah secemerlang sehebat zaman sekarang seperti 17A hingga 20A. Zaman tersebut dengan keputusan SPM Gred 1, agregat di bawah 10 sudah cukup Syukur Alhamdulillah. Sudah dikira hebat kononnya.

Saya berjaya mendapat biasiwa Petronas kursus Kejuruteraan Kimia yang sepatutnya 2 tahun di universiti tempatan dan 2 tahun di negara luar. Isunya adalah samaada saya berminat dalam jurusan tersebut. Adakah saya mampu mendapat keputusan cemerlang untuk subjek yang tidak saya minati? Sejak saya membuat permohonan biasiswa lagi saya tidak dapat membuat keputusan jurusan apa yang perlu saya pelajari. Harapan cuma satu untuk sambung belajar dan mendapat biasiswa ke luar Negara agar tidak menyusahkan Mama dan Abah. Saya perlu membuat mereka bangga walau apa cara sekali pun. Saya alpa dan tidak cekap membuat keputusan. Dalam fikiran saya, saya perlu mendapatkan segulung ijazah untuk menjamin masa hadapan yang cerah. Bagi saya, mungkin saya boleh memaksa diri untuk belajar subjek tersebut; minat akan hadir lama-kelamaan. Jenis jurusan yang ditawarkan oleh penaja biasiswa pun amat terhad. Seingat saya hanya jurusan kejuruteraan, kedoktoran, akauntan, perniagaan dan ekonomi. Agaknya inilah sahaja bidang yang penting di Malaysia. Oleh kerana taksub untuk mendapatkan biasiswa saya akur untuk menyambung pelajaran dalam jurusan Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Petronas,walaupun hati ke arah kursus Senibina.

Namun saya telah tersilap langkah, saya tidak mampu belajar dalam keadaan yang terpaksa walaupun hanya baru dalam semester yang pertama. Saya tidak berminat langsung subjek tersebut. Lama saya berfikir untuk memutuskan bertukar kursus. Bagaimana harus saya memaklumkan perkara ini? Sudah pasti akan melukakan hati Abah khasnya. Biasiswa akan ditarik. Justeru, saya telah bertekad untuk memaklumkan kepada Abah walaupun saya pasti akan melukakan hatinya. Tekaan saya memang betul, Abah sedih dan menyalahkan dirinya kerana memaksa anak sendiri belajar jurusan yang tidak diminatinya. Saya berjaya menyambung pelajaran ke UiTM dalam jurusan Diploma Senibina dan juga mendapat pinjaman pelajaran JPA bagi melanjutkan pelajaran dalam Bachelor of Architecture di University of Lincoln, UK. Oleh itu, MINAT terhadap sesuatu subjek/bidang amat perlu dan memainkan peranan yang amat penting.

Pada tahun akhir di UiTM, saya bertekad untuk mengajar tuisyen subjek Matematik & Sains bagi pelajar sekolah rendah dan subjek Kimia, Fizik, Matematik Moden & Matematik Tambahan bagi pelajar sekolah menengah. Tetapi kali ini saya tidak dapat memberikan kelas secara percuma kerana perlu membuat simpanan bagi perbelanjaan kenduri kahwin selepas saya menamatkan pengajian saya di UiTM. Namun, bukanlah kerana duit simpanan yang menjadi keutamaan saya, yang penting saya dapat membantu anak-anak bangsa Melayu untuk berminat belajar dan lebih memahami subjek sains & matematik. Saya juga dapat mengingati subjek tersebut walaupun sudah lama meninggalkan alam persekolahan.

Selepas berjaya menggulung sebuah Ijazah, saya pulang ke tanah air bersama suami. Alhamdulillah, saya berjaya mendapat pekerjaan sebagai seorang arkitek di sebuah syarikat swasta. Setelah setahun bekerja di sana, saya mula terfikir “benarkah kita perlu bekerja mengikut kelayakan sahaja?” Jika saya berkelulusan Ijazah Senibina, adakah dengan menjadi seorang arkitek sahaja membolehkan saya berjaya dalam hidup? Saya mempelajari sesuatu iaitu “pekerjaan yang dicari perlu bersesuaian dan membahagiakan diri, barulah kita ikhlas mencari rezeki”. Sememangnya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik bagi umatnya. Saya telah bertukar profession; bukan lagi sebagai arkitek tetapi hanya sebagai seorang pegawai kerajaan. Mungkin itu adalah rezeki yang ditentukan olehNya, skim Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik menjadi sumber rezeki buat anak-anak.

Setelah hampir 6 tahun berkhidmat, banyak yang saya pelajari. Walaupun ilmu mengikut kelulusan pengajian kurang dipraktiskan semasa bekerja, namun saya percaya saya telah mendapat pelbagai ilmu yang lain semasa bekerja. Saya percaya semangat menimba ilmu perlu ada sepanjang hayat dan bukan hanya untuk lulus peperiksaan!Pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan yang baik tidak semestinya menjadi seorang pekerja yang bagus. “The Spirit of Learning” semakin kurang disemai. Penilaian seseorang pekerja oleh kebanyakkan Pengurusan Sumber Manusia dalam mana-mana agensi tempatan juga seakan-akan mula bergantung kepada ‘exam oriented system’. Lihat sahaja bagaimana SPA/JPA membuat pemilihan bagi Skim Perkhidmatan Tadbir & Diplomatik! Bukan itu sahaja, kaedah penilaian kenaikan pangkat juga sedikit-sebanyak berkonsepkan sistem tersebut. Lama-kelamaan pegawai robot kerajaan yang bakal dihasilkan.

Pengalaman merupakan salah satu ilmu yang amat berguna. Tambahan lagi dengan menjadi seorang ibu kepada 4 orang. Saya cukup bosan dengan pandangan segelintir masyarakat kita yang masih lagi beranggapan sekiranya menjadi seorang isteri/ibu, tidak perlu melanjutkan pelajaran. Tidak sama sekali! Itu hanyalah satu alasan. “Selagi ada USAHA, di situ PASTI ada jalan”- saya melanjutkan pelajaran dan mendapat MSc in Integrated Construction Project Management secara separuh masa sambil bekerja di UiTM Shah Alam. Selagi ada kudrat, selagi itu saya akan menuntut ilmu. Contoh yang baik perlu ditunjukkan kepada anak-anak. Walaupun bidang yang dipelajari kurang berkaitan dengan pekerjaan sekarang.


Menjadi ibu kepada anak yang Autistik, Marsya juga banyak memberi ilmu yang bermanfaat kepada saya. Saya sudah berminat untuk mempelajari ilmu early education dan ilmu pendidikan khas. Semua ilmu yang saya peroleh perlu dikongsikan dengan anak-anak. Jikalau saya mampu menjadi seorang guru kepada anak orang lain, kenapa tidak terhadap anak-anak sendiri. Ilmu pendidikan khas yang saya peroleh daripada internet, bacaan ilmiah, kursus ibubapa, forum, nasihat dan sebagainya dipraktiskan kepada Marsya di rumah. Saya tidak boleh hanya bergantung kepada guru-guru Marsya di sekolahnya. Baru saya sedar, tahap penerapan ilmu oleh seseorang berdasarkan keupayaannya. Setiap insan mempunyai kekuatan dan kekurangan; anak-anak walaupun dilahirkan daripada perut ibu yang sama tetapi tidak bermakna mempunyai sifat, kelakuan dan cara pemikiran yang serupa. Ini bermakna janganlah anak-anak dipersalahkan sekiranya mereka tidak berjaya mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Galakkan mereka untuk belajar berdasarkan “spirit of learning” yang semakin dilupakan.


Masyarakat kita perlu berfikiran dengan lebih terbuka mengenai sistem pembelajaran anak-anak. Ibubapa perlu memainkan peranan yang setaraf dengan para pendidik. Sekiranya ibubapa dan para pendidik berganding bahu maka prestasi positif anak-anak juga dapat dilihat. Terapkan semangat untuk belajar bagi mendapat ilmu untuk dimanfaatkan dan bukan hanya kepada kelulusan peperiksaan. Barulah ilmu yang berKUALITI diperoleh dan bukannya berdasarkan KUANTITI! Polisi pembelajaran atau sistem pendidikan Negara juga perlu sentiasa disemak dan diperbaharui. Semangat untuk belajar perlu sehingga akhir hayat. Sekadar pandangan 2 sen daripada saya. Semoga kita melahirkan generasi yang lebih baik di masa akan datang.



Nota: Buat sahabat PTD, semoga anda menjadi pegawai yang ikhlas dalam membentuk polisi Kerajaan.